
Adik Beradik Khunsa Perlu Biaya Pembedahan
-
July 9, 2013
PASIR PUTEH – Masa depan dua beradik
yang dilahirkan dengan dua jantina atau khunsa masih kabur apabila
keluarga mereka agak miskin serta tidak mampu menyediakan kos
pembedahan.
Pada asalnya, kedua beradik itu
dilahirkan sebagai wanita tapi turut mempunyai alat kelamin lelaki yang
menyebabkan pembedahannya menjadi sukar. Selepas Nor Intan Syamimi Mohd
Rahim, 5, dilahirkan sedemikian, adiknya, Liahana Dalisya yang berusia
15 hari mengalami nasib sama.
Ibunya, Noraziani Rameli, 30, berkata,
kalau dulu dia hanya perlu menampung kos perubatan Nor Intan seorang
sahaja, kini kosnya berganda kerana Liahana juga perlu dirujuk sebulan
sekali ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota
Bharu.
Katanya, Nor Intan ada kalanya mengadu
sakit kesan ketumbuhan alat kelamin lelaki itu dan masalah sama sudah
tentu akan dirasai Liahana tidak lama lagi jika tidak dibedah awal.
“Saya difahamkan pihak HUSM akan
menentukan tarikh pembedahan, tempat pembedahan dan kosnya pada 24 Julai
nanti, ia cukup merimaskan kerana saya tidak mempunyai wang untuk semua
itu.
“Ketika ini saya masih berhutang dengan
HUSM sebanyak RM700 itu pun tidak terbayar dan ditambah pula dengan kos
pembedahan nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong
Tambak, Tasek Pauh, Selising dekat sini, semalam.
Noraziani ibu kepada lima anak itu
berkata, suaminya, Mohd Rahim Yusof, 40, hanya bekerja sebagai buruh
dengan pendapatan rendah serta tidak menentu.
“Saya sudah mengemukakan masalah ini
kepada pemimpin setempat untuk dipanjangkan kepada wakil rakyat tapi
sehingga kini belum mendapat maklum balas,” katanya.
Keluarga itu bernasib baik kerana dapat
mendiami rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak
tiga tahun lalu, sebelum ini mereka terpaksa menyewa rumah.
Orang ramai yang mahu membantu keluarga
ini boleh menghubungi Noraziani di talian 0139715272. Kes bayi
dilahirkan mempunyai dua jantina dipanggil sebagai intersex dan dalam
kebanyakan kes, proses mengenal pasti jantina sebenar bayi agak rumit.
Sebagai ibu, Noraziani yakin
kedua anaknya perempuan dan hanya mengalami kecacatan yang mendatangkan
kesakitan kerana turut mempunyai alat kelamin lelaki.
Ketika baru dilahirkan katanya, kedua anaknya itu berkulit agak gelap tidak seperti anaknya yang lain.
“Saya agak risau keadaan itu kekal,
syukurlah kulit mereka beransur cerah apabila membesar, bagaimanapun
saya sedia menerima ketentuan takdir.
“Saya menganggap semua ini sebagai
dugaan ALLAH, saya berharap ada pihak yang sudi membantu kami yang hanya
mampu berdoa agar kedua anak saya ini dapat menjalani pembedahan,”
katanya.
Noraziani berkata, dia menyedari Nor
Intan malu serta ada kalanya tidak mahu keluar rumah untuk bermain
kerana diejek kawan-kawan. – Sinar Harian
Derita seorang khunsa

“Selalu saya berdoa, ambillah nyawaku ketika masih sihat (ada kudrat), bukannya ketika sudah terlantar. Bukan menolak takdir, tetapi tidak mahu menyusahkan sesiapa. Jika sudah terlantar, nanti menyusahkan orang,” kata seorang khunsa yang menderita pelbagai jenis penyakit termasuk reput tulang sejak 20 tahun lalu.
Mahu dikenali Suraya, 58, derita ditanggung khunsa yang memilih meneruskan hidup sebagai wanita itu bagaikan tiada kesudahan.
Ketika zaman kanak-kanak sehingga remaja, dia berdepan tekanan perasaan akibat kecelaruan jantinanya dan sejak dewasa sehingga menjengah ke usia tua dia menanggung kesakitan berikutan penyakit dialaminya.
Suraya mendakwa episod deritanya bermula apabila dia mengambil sejenis pil hormon wanita dikenali dengan nama ‘dexamethasone’ ketika berusia 27 tahun.
“Saya ada dua alat kelamin, lelaki dan wanita tapi jiwa serta naluri saya lebih terarah kepada lelaki. Masalahnya, fizikal saya seperti wanita dan ibu bapa pula mendidik saya supaya menjadi wanita. Arwah nenek pula ‘mengisytiharkan’ saya wanita.
“Biasalah.. cakap orang tua kita kena dengar. Arwah nenek beritahu ayah dan ibu supaya terima ketentuan Allah. Dan, sejak itu saya dididik menjadi wanita,” katanya.
Suraya berkata, dari kecil dia disuruh memasak, membasuh dan melakukan seperti apa yang dilakukan seorang wanita.
“Oleh kerana jiwa dan naluri saya lebih terarah kepada lelaki, saya cukup tidak suka melakukan pekerjaan itu (memasak dan membasuh). Saya dipakaikan dengan pakaian wanita tetapi perwatakan saya lebih kepada lelaki,” katanya.
Menurut Suraya, walaupun jiwanya memberontak mahu menjadi seorang lelaki, dia patuh dengan kehendak ayah dan ibunya.
“Saya menjadi seperti wanita. Pakai baju wanita dan bersekolah menengah pun di sekolah wanita. Namun, saya tidak mampu mengetepikan jiwa dan naluri lelaki yang ada dalam diri saya.

“Disebabkan tidak mahu melawan cakap orang tua, sampai satu tahap saya mengambil keputusan untuk menjadi wanita yang sejati,” katanya.
Menurut Suraya, dia berjumpa doktor dan hasil pemeriksaan doktor pakar mengesahkan fizikalnya lebih cenderung kepada wanita biarpun mempunyai alat sulit lelaki dan wanita.
“Doktor menyarankan saya mengambil pil ‘dexamethasone’ yang berfungsi menambah hormon wanita dalam tubuh saya.
“Jika mahu jadi lelaki, saya perlu menjalani pembedahan pada alat kemaluan tapi alat sulit lelaki saya tidak boleh berfungsi seperti lelaki lain dan saya juga tidak boleh mendapat zuriat.
“Disebabkan tidak mahu ‘pening kepala’ saya ikut nasihat doktor dengan makan pil ‘dexamethasone.’ Hasilnya, ciri-ciri wanita mula terserlah pada diri saya. Saya ada buah dada, tetapi tidaklah sempurna seperti wanita sebenar.
“Suara saya juga berubah daripada garau kepada sedikit halus. Paling mengejutkan, saya datang haid di ketika usia 28 tahun,” katanya.
Menurut Suraya, malangnya ‘nikmat’ menjadi wanita hanya dirasakannya buat seketika saja kerana selepas lima bulan, dia mendakwa mula menerima kesan sampingan daripada ubat yang diambil.
“Berat badan saya naik mendadak, tulang dan sendi sakit. Seluruh badan saya sakit, daripada tengkuk sampailah ke kaki. Pemeriksaan doktor juga mendapati tulang saya mereput.
“Jari tangan, kaki menjadi bengkok, kaki, tangan bengkak, dan tapak kaki menggelupas dan pecah menyebabkan kesakitan sehingga sukar bergerak,” katanya.
Suraya berkata, dia berkali-kali dinasihatkan doktor supaya menjalani pembedahan tetapi ayahnya tidak membenarkannya kerana bimbang berlaku perkara tidak dingini kepadanya.
“Disebabkan itu saya banyak bergantung kepada ubat dan menjalani fisioterapi. Bagaimanapun, pada 2000, saya mengalami sakit yang teruk pada bahagian pinggul sebelah kanan.
“Kerana tiada pilihan saya terpaksa menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul kanan. Pembedahan itu dilakukan pada April 2000,” katanya.
Menurut Suraya, pada 2006, dalam keadaan masih menderita pelbagai penyakit tulang dan sendi, dia berdepan masalah sakit tulang belakang.
“Doktor yang merawat saya memberitahu tulang saya mereput dan perlu dibedah. Tulang yang reput itu perlu diganti dengan tulang plastik.
“Ayah tidak membenarkannya kerana bimbang saya langsung tidak boleh bergerak jika melakukan pembedahan itu,” katanya.
Suraya berkata, sejak 20 tahun lalu, hospital umpama rumah keduanya kerana dia perlu mendapatkan pelbagai rawatan dan ubat untuk penyakit tulang dan sendi yang dialaminya.
“Perasaan menyesal kerana memilih mengambil pil berkenaan memang ada, tetapi saya pasrah dan menganggapnya takdir. Derita yang saya tanggung amat perit untuk ditempuh. Fikiran terganggu, perasaan terguris,” katanya.
Menurut Suraya dia tidak diberitahu kesan pengambilan pil berkenaan oleh doktor yang merawatnya dulu menyebabkan dia tidak berfikir panjang menerima tawaran yang diberi.
“Mungkin pada tahun itu (1978) doktor tidak arif dengan kesan yang bakal diterima oleh pengguna pil itu. Selepas beberapa tahun barulah saya diberitahu oleh doktor lain bahawa pil berkenaan boleh mereputkan tulang.
“Saya juga membaca beberapa laporan di akhbar yang turut menyatakan kesan pengambilan pil berkenaan boleh menyebabkan tulang mereput dan sendi rosak,” katanya.
Suraya berkata, walaupun pil itu menjadi punca kepada penderitaannya, dia tidak boleh berhenti daripada mengambilnya setiap hari.
“Jika saya tidak makan pil itu, saya tidak boleh bangun dan hanya mampu berbaring. Wajah dan tubuh saya pula dipenuhi bintik merah. Selama tiga hari tidak mengambil pil itu, nyawa saya mungkin melayang. Itu nasihat doktor yang perlu saya patuhi,” katanya.
Gara-gara penderitaan dialami, dia terpaksa berhenti kerja lebih awal daripada yang sepatutnya dan kini terpaksa menggunakan tongkat dan kerusi roda untuk bergerak.
“Sudah puas saya menangis. Apa pun saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Cuma, saya berasa sangat sunyi,” katanya.
Suraya kini menetap bersama adiknya di ibu kota dan bercadang untuk pulang ke kampung dan menghabiskan sisa hidupnya di sisi ayah dan ibunya.
No comments:
Post a Comment